Tuesday, December 29, 2009

Approaching 2010

Tahun baru semakin dekat. Kalau mengikut kalendar Islam dah pun lepas...Sekarang menghitung hari untuk tahun baru mengikut kalendar Masihi pula. Tinggal beberapa hari saja lagi nak menginjak ke 2010. Persoalannya dah bersediakah saya? Sebenarnya kalau boleh memang nak tahun 2009 berlalu dengan cepat... Banyak jugak peristiwa pahit tahun ni kalau boleh yang memang tak nak ingat langsung. Tapi realitinya kenangan sama ada pahit atau manis adalah titik pengalaman yang mematangkan kita. Hidup tanpa dugaan umpama hidup yang kosong dan sepi, tak ada secalit warna pun. Jujurnya bukan hidup macam tu yang kita nak lalui kan.

Gembirakah saya dengan apa yang dah berjaya tempuhi sepanjang tahun ni? Ada saat gembira, ada juga saat yang membuatkan air mata jadi peneman. Lumrahnya manusia adalah insan yang punya sisi-sisi lemah dalam diri mereka. Alangkah bagusnya untuk tidak menonjolkan sisi tersebut tapi menangis atas sebuah kedukaan atau kerana masalah yang menimpa tak bermakna kita lemah. Itu adalah cara terbaik untuk menenangkan hati, tanpa mengusutkan fikiran orang lain juga. Hidup adalah sebuah pentas dan kita adalah pendokong wataknya. Berjaya atau tidak terpulanglah kepada empunya diri.

Tahun 2009 ada juga membawa keajaiban dalam hidup saya. Kadang-kadang terlintas di hati untuk apa Allah mengurniakan hal itu? Berkat doa saban waktu, jawapan bagi persoalan yang dicari selama ini, dugaan dalam menempuh perjalanan hidup ataupun ada hikmah di sebaliknya? Hanya Dia yang tahu... Masih berusaha merungkai persoalan itu. Harapan dalam hati agar persoalan tersebut akan dapat menemukan jawapan yang pasti.

Saat yang kecewa dan melukakan hati pun tak kurang banyak. Ada juga perkara kurang bijak yang saya buat. Tapi lumrah hidup begitulah. Kadang-kadang sukar nak menjangka tindakan sendiri. Ikut kata hati, logiknya sesuatu tak lagi menjadi ukuran... Bila dah berlaku perkara yang kemudiannya adalah satu kesilapan besar, memang rasa nak marah sangat dengan diri sendiri. Perkara paling sukar bagi saya adalah nak memaafkan diri sendiri. Bila tak dapat nak memaafkan diri sendiri, susah nak `let go’ dan melupakan apa yang terjadi. Kadang-kadang rasa macam menghukum diri sendiri dan betapa tak bahagianya hati bila semua tu terjadi... Gembira hanya untuk paparan umum, bukan secara realitinya adalah sesuatu yang memedihkan.

Sekelip mata 2009 berlalu pergi. Jujurnya 2009 bukanlah tahun yang menyenangkan dan bertuah. Justeru sangat berharap 2010 akan menjanjikan hidup yang lebih indah dan kurang pancaroba. Juga berharap dapat menemui jawapan itu pada tahun depan yang bakal menjelma tak lama lagi. Sangat berdebar dan takut sebenarnya tapi sekurang-kurangnya selesai satu persoalan. Hidup bukanlah sangat rumit tetapi juga tidaklah terlalu mudah. Dibalik setiap persoalan yang timbul pasti ada jawapan tersembunyi yang perlu kita cari. Hidup adalah satu perjalanan yang mungkin penuh dengan warna-warna pelangi ataupun batu-batu keras yang ada ketikanya membuatkan kita ingin berhenti dari meneruskan perjalanan.

Tapi percayalah, saat paling bahagia adalah bila cahaya mula menampakkan sinarnya. Setiap orang pasti akan menemui bahagia yang dicari, cuma masa yang menjadi ukuran. Lapangkan hati dan dekatkan diri padaNya, yang terbaik pasti ganjaran istimewa untuk kita. Just pray for the best, to myself and everyone...